Bismillahirrahmanirrahim ~~
Bulan lepas saya baru lepas membaca novel tarbiah karangan saudara Hilal
Asyraf yang bertajuk TAKDIR. Ya, mungkin saya sangat terlambat membaca novel tu
tapi berbaloi sebab cerita tu sangat menarik.
Ok, apa sebenarnya yang saya nak cerita ?
Antara pengajaran yang saya nampak, hidayah Allah tidak mengenal sesiapa
pun. Walau siapa dia di masa silamnya, siapa dia pada masa kini. Jika Allah
kehendaki, tiada siapa yang dapat menghalangnya.
Izrayel Junjuki, seorang jeneral pihak yang berada dalam kegelapan.
Semasa pemerintahannya, tiada siapa pun mampu menewaskannya malah tanah
jajahannya juga terus tersebar luas dengan pengaruh yang sangat kuat. Digelar
Pahlawan Berdosa kerana sepanjang hayatnya tidak terlepas daripada dosa-dosa
membunuh tak kira la orang itu bersalah atau tidak. Tidak yakin pada hidayah
Allah membuatkan dirinya membunuh dengan lebih ramai supaya orang ramai percaya
bahawa orang yang berdosa tidak akan diampunkan Allah.
End juga merupakan seorang jeneral dunia kegelapan yang pendiam tetapi
ganas. Namun, dalam diam dia meneliti setiap apa yang baik dan buruk. Tidak
banyak watak yang dimainkan oleh End tapi impaknya amat besar apabila si ‘bisu’
ini bersuara lantas beriman pada yang Maha Esa.
Teringat pula di zaman Rasulullah, Umar yang gagah perkasa, bengis dan
sangat berani. Kejahilannya terserlah dengan membunuh anak perempuannya
sendiri. Beliau sangat digeruni dan ditakuti dek kerana kebengisan dan
kekejamannya. Namun, siapa sangka hati yang keras itu dapat dilembutkan dengan
bacaan ayat suci al-Quran yang dibaca oleh adiknya Fatimah dan adik iparnya
Said. Maka, termakbullah doa Rasulullah dengan berimanlah Umar kepada Allah. Pengislaman
Umar memberi tamparan hebat kepada musuh-musuh Allah.
‘Ya
Allah, bantulah Islam dengan Abul Hakam Hisyam atau Umar al-Khattab.’
Allah itu Maha Berkuasa, Dia berkuasa menarik siapa sahaja Dia suka dan
kebanyakannya mereka ini orang-orang yang dahulunya sangat kuat menentang
Islam. Tapi, mereka juga merupakan asset yang paling mahal bagi menaikkan Islam
di bumi ini. Tiada lagi Umar pada masa kini, Izrayel dan End juga bukan watak reality
di bumi ini tapi insan-insan seperti inilah yang perlu kita wujudkan. Bukan kuantiti
yang diperlukan bahkan kualiti iman seseorang itu perlu ditingkatkan dari
sehari ke sehari. Sekeras manapun hati seseorang itu, apabila ditiupkan hidayah padanya pasti akan lembut juga ibarat batu yang dititis-titiskan air ke atasnya setiap masa, akan membentuk lekuk juga akhirnya.
Sekarang pun makin ramai artis wanita yang sudah kembali kepada fitrah
menutup aurat, Alhamdulillah. Semoga ia kekal dan menjadi inspirasi kepada
mereka yang belum berubah serta diharapkan istiqamah dan terus menjadi lebih
baik. Sesungguhnya Allah tidak menilai siapa kita pada masa dahulu, baik buruk
kita kalau kita kembali kepadaNya, Dia pasti akan mengampunkan kita. Tiada dosa
yang tidak diampunkan oleh Allah melainkan syirik kepadaNya. Marilah berubah
dan bertaubat.