Please Put Your Blog's Link ;)

Friday, July 15, 2011

bila Allah berkata "Kun FaYakun"

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, untuk kesekian kalinya dapat juga peluang untuk saya update blog Musafeer Ilmu yang sudah bersawang agaknya.

Sejak akhir-akhir ni, warna kuning menjadi pilihan hati rakyat Malaysia. Tak kurang juga yang fobia dengan warna kuning. Harap-harap tak hilang la perkataan kuning dalam kamus dewan bahasa ^__^

Entry kali ni saya cuma mahu menyingkap kembali sejarah-sejarah umat Islam terdahulu. Masih ingatkah lagi dengan kemegahan takhta milik Firaun ? Kebanggaan seorang raja bernama Namrud ?

FIRAUN

Nama yang sangat megah di zaman nabi Allah Musa a.s. sehingga menganggap diri sebagai tuhan. Pembunuhan dilakukan terhadap kanak-kanak lelaki yang baru dilahirkan hanya kerana mahu menyelamatkan kedudukan, harta benda dan pengabdian rakyat kepadanya.

Manusia merancang dan Allah juga merancang, namun rencana Allah lebih hebat. Diutuskan utusan bagi menegakkan kalimahNya. Tatkala anak-anak kecil dibunuh dan si isteri, Asiah kepingan seorang bayi untuk diangkat menjadi anak, kala itulah dihanyutkan seorang bayi di sungai Nil.

Lalu diangkat Musa sebagai anak tanpa pengetahuan Firaun anak itu bakal merobohkan kemegahan miliknya ketika itu. Ditatang Musa bagai minyak yang penuh.

Saat Islam tersebar dan penyebaran itu dilakukan oleh anak angkatnya sendiri, maka tangan yang menatang itu jugalah yang cuba hendak membunuh Musa. Namun, segala usaha hanya sia-sia. Sebaliknya Allah telah membuktikan kehebatanNya dengan membelah laut Merah menggunakan tongkat milik Musa yang dijadikan mukjizat.

Lalu matilah seorang raja yang agung kononnya mengaku sebagai tuhan. Matinya Firaun bukanlah di tangan Musa, tetapi Allah yang telah mengalahkan kerajaan itu.

NAMRUD

Nama yang tidak asing lagi. Namrud yang bongkak itu telah mengecilkan kekuasaan dan kehebatan Allah. Kononnya dia juga mampu menghidupkan dan mematikan seseorang. Diambilnya dua orang lalu dibunuh seorang dan seorang lagi dibiarkan hidup.

Ketika Ibrahim berkata kepada Namrud bahawa Allah menerbitkan matahari dari sebelah timur, maka jadikanlah matahari itu terbit di sebelah barat. Tercenganglah Namrud, disuruhnya pula Ibrahim dibakar.

Namun kuasa Allah mengatasi segalanya. Ibrahim tidak terbakar. Setelah itu Ibrahim memohon kepada Allah agar menurunkan tentera-tentera dari golongan makhluk yang lemah iaitu nyamuk untuk menentang bala tentera Namrud laknatullah itu.

Dengan izin dan perintah Allah, nyamuk itu menyerang tentera Namrud dengan menghidap darah mereka. Kematian Namrud ditangguhkan supaya dia melihat sendiri kekuatan tentera Allah menentang tenteranya selain memberi peluang bertaubat kepadanya. 


Begitulah hebatnya kuasa Allah, hatta pemimpin yang hebat seperti Firaun dan Namrud turut tumpas dengan sekelip mata. Tiada yang mustahil dengan izinnya. Kun FaYakun.

Maka, percayalah suatu hari pemimpin-pemimpin yang zalim di muka bumi ini akan tumpas jua. Bukan di tangan rakyat, bukan juga kerana pemimpin-pemimpin pembangkang tetapi Allah sendiri yang akan menjatuh dan meggulingkan kerajaan zalim. Kala itu Islam pasti akan tertegak di bumi ini. 


Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...