Please Put Your Blog's Link ;)

Tuesday, May 31, 2011

P.Ramlee : cobaan !!



Hidup ini tak akan lepas daripada ujian.

Kita persoalkan, kenapa aku diuji ?

Maka, Allah menjawab dalam kitabNya :

“ Apakah manusia mengira, mereka dibiarkan menyatakan kami beriman, sedangkan mereka itu belum diuji?” (al-Ankabut : 2)


Ya, ujian ! Setiap orang merasainya. Namun, tidak akan dibiarkan ujian itu terlalu berat sehingga tidak mampu dipikul oleh hambaNya.

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya,……” (al-Baqarah : 286)



Indahnya pujangga ini, "ujian itu tanda kasih dan sayang Allah". Manisnya terasa apabila diri diuji, saat itu hanya padaNya kita berharap.

Ketika Allah rindu pada hambanya, Dia akan mengirimkan sebuah hadiah istimewa melalui malaikat Jibril yang isinya adalah ujian. Dalam hadis kudsi Allah berfirman. 

"Pergilah pada hambaku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya." 

(HR Thabrani dari Abu Umamah)


Luangkan sedikit masa untuk membaca ini, Hikmah Disebalik Ujian Allah

Jom layan lagu ini sejenak sambil bermuhasabah


Friday, May 20, 2011

si Taghut yang beriman

Maaf sebab saya pernah benci pada kamu.

Maaf sebab saya bermasam muka pada kamu.

***

Aduh ! Sakitnya hati bila pandang muka orang yang dibenci. Rasa macam nak menghemburkan api kemarahan ni pada muka dia. Geram ! Geram ! Grrrrrr.......

Pernah rasa ?

Astaghfirullahal'azim, kalau pernah terjadi sebegini istighfar la banyak-banyak. Ingat Allah. Moga ketenangan dapat diraih. Sebenarnya, apa yang kita benci sangat pada dia ye ?

Dia ni bergurau menyakitkan hati la. 

Pakai teruk sangat, dah tegur pun macam tu jugak.

Jahat, pencuri, bla..bla..bla..

MERAGUT NYAWA 100

Ingat lagi kisah seorang pembunuh yang telah membunuh 100 orang ? Dia seorang pembunuh kejam yang membunuh 99 orang tak kira siapa. Tatkala pintu hati terbuka untuk bertaubat, dia berjumpa dengan seorang ulama' dan bertanya "adakah pintu taubat masih terbuka?"

Lalu ulama' itu mengatakan pintu taubat tidak terbuka untuknya. Kerana amarah, ulama' itu dibunuh dan menjadikan ia genap 100 orang yang telah dibunuh.

Kemudian dia bertemu dengan seorang lagi ulama' dan menanyakan soalan yang sama lalu ulama' itu menyuruhnya pergi ke sebuah perkampungan dan bertaubat. Insya Allah taubat itu diterima.

Maka, berjalanlah dia sehingga nyawanya dicabut oleh malaikat maut sebelum sempat sampai ke kampung itu. Namun, keampunan tetap diberikan dengan ukuran perjalanan ke arah pintu taubat lebih panjang kerana kesungguhannya itu.

CINTA SANG RATU & SUTERA BIDADARI

Siapa yang pernah membaca novel karangan Ramlee Awang Mursyid ini tentu tahu jalan ceritanya. Sambil membaca, contohilah akhlak-akhlak mulia yang ditonjolkan melalui penulisannya begitu juga dengan iktibar yang diselitkan.

Perkaitannya....

Dalam dua novel ini ditonjolkan watak sang Ratu dan Taghut, manusia syaitan yang disihir supaya menyesatkan manusia dan mensyirikkan Allah. Kejam ! Tiada belas kasihan dan sesekali tidak menerima tawaran kembali ke pangkal jalan.

Akan tetapi, dengan izin dan rahmat Allah mereka kembali kepada ajaran Rasulullah. Beroleh hidayah melalui wasilah, Saifuddin seorang laksamana yang menegakkan kalimah Allah. Lantas mereka mati dengan kalimah "Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan Muhammad itu Rasul Allah."

'ABID YANG ALIM

Satu lagi kisah tentang seorang ahli ibadah yang sangat taat kepada Allah, siang malam beribadat tanpa lelah dan jemu. Menghabiskan masa dalam mentaati suruhan Allah dan meninggalkan setiap larangan, dari yang makruh sehinggalah kepada haram.

Ujian tidak pernah lepas daripada manusia yang mempunyai iman di hatinya. Si 'abid ditawarkan dengan bermacam-macam tawaran seperti membunuh, berzina atau minum arak jika dia mahu imannya semakin bertambah. 

Dengan iman, dia menolak kerana tahu akan dosa besar dua perbuatan itu tetapi memilih untuk minum arak kerana disangka itu tidak akan memudharatkan.

Arak, ibu segala maksiat. Maka, berlakulah penzinaan antara si 'abid dengan seorang wanita. Kerana takut rahsianya terbongkar, maka dibunuhnya wanita itu. Kerana satu perkara, tiga dosa telah dilakukan.

Hingga hujung nyawa, hasutan syaitan tidak pernah hilang. Disuruhnya berpaling daripada agamanya lalu tunduk kepada syaitan, tatkala itu terpisahlah nyawa daripada jasad dengan penghinaan kerana telah syirik kepada Allah. Na'uzubillah

YANG MANA PENGAKHIRAN KITA ?

Kita tidak tahu pengakhiran hidup kita yang mana. Baik atau buruk. Boleh jadi kita adalah sang Ratu dan Taghut yang mati dengan keimanan. Atau si 'abid yang terhina itu.

Dia baik di mata kita, kita sayang dan kasih padanya. Dialah kawan kita. Awas ! Tidak mustahil dia adalah musuh Allah, buruk pada pandanganNya. Hati-hatilah dengan golongan ini, jangan sampai kita tewas dengan kelicikannya.

Walau sejahat mana seseorang itu, tidak semestinya dia akan kekal jahat dan terus jahat sehingga matinya juga jahat. Boleh jadi dia seperti si Taghut di atas. 

Maka, benci kita padanya wajar kita lemparkan. Jangan dibiar ia terus bermaharajalela. Bukan hak kita hendak mengadili seseorang sama ada dia baik atau sebaliknya. Mungkin dia lawan kita, tetapi boleh jadi dia adalah kawan Allah.

Mungkin dia jahat ketika ini, tetapi boleh jadi dia boleh berubah menjadi lebih baik malah berganda-ganda baiknya daripada kita. Oleh itu, berilah kemaafan atau perbaiki silapnya, pilih salah satu atau ambillah keduanya.


Wednesday, May 18, 2011

gelisah atau tidak, yang mana diri kita ?



Terbaca di satu ruangan blog, facebook : kita menguasai atau dikuasai? tertarik dengan saranan yang diberikan agar meninggalkan penggunaan facebook dalam tempoh masa yang dihadkan. Kemudian, teliti dan nilaikan semula tahap ketaksuban kita dalam menelaah facebook.


Maka, timbullah persoalan.


"Apa perasaan kita?"


"Bagaimana kita bertahan, mengawal kehendak perasaan dan bertindak apabila kebiasaan harian kita di'berhentikan' seketika dalam jadual harian?"


"Gelisahkah kita?"


"Atau kita mampu menjalani kehidupan seperti biasa, penuh ketenangan dan seolah-olah tiada apa yang berlaku."


Andai kita bisa menganggap ia seperti biasa dan mampu menjalani kehidupan dengan tenang, syukur alhamdulillah. Jika sebaliknya, check semula hati kita maka berbaliklah kepadaNya.



Bukan nak mengata, sedang diri ini juga kadang-kadang terlalu asyik dengan laman sosial itu. Nampak tak, dalam printscreen tu pon saya baru hendak log in page saya. Diri ni pun tak terkecuali.

Cumanya, saya bukan hendak mengulang apa yang telah diperjelaskan oleh BroHamzah kita. Hanya mendapat satu buah fikiran untuk mengingati diri saya dan para pembaca sekalian. Ok, mukaddimah saya berakhir di sini ('',).

Saya terfikir, kadang-kadang kita berasa resah dan gelisah bila kita tak dapat melakukan sesuatu yang menjadi tabiat kita. Ibarat kanak-kanak yang tak boleh tidur tanpa bantal busuknya. Senang cakap macam yang bro kita cakapkan, gelisah tak dapat tatap "muka buku" dalam sehari. Tapi pernahkah kita merasa kegelisahan sedemikian sekiranya kita meninggalkan suruhan Allah ? Melakukan larangan Nya ?

Gelisah tak kalau melewatkan solat?

Resah tak kalau tak baca al-Quran dalam sehari?

Berdebarkah kita meninggalkan zikrullah dan selawat?

Allahu Rabbi, tergolongkah kita dalam golongan ini? Tepuk dada tanyalah iman. Mari perbaiki lubang-lubang besar mahupun yang kecil agar tidak dicemari dengan debu-debu dosa. Tidak dimasuki air-air busuk yang bisa menembusi lubang-lubang ini. Astaghfirullahal'azim, berikan kami cahaya petunjukMu ya Allah.




Monday, May 16, 2011

berusahalah meraihnya


Susahnya memberi nasihat. Susah juga hendak menerimanya. Bukan semua orang boleh menerima nasihat dan bukan semua mampu memberikan nasihat atau teguran yang berguna.

Kita selalu merungut, "dia bukannya nak dengar cakap orang."

"Tak makan saman pun dia tu."

Memang la dia tak makan saman sebab dia makan nasi. 

Tak dinafikan, saya juga lemah dalam bab memberi teguran dan nasihat secara direct melalui ucapan. Itulah, apabila iman senipis kulit bawang, maksiat di depan mata pun tiada dapat dilarang.

Tapi tak salah kan kalau kita mencuba, meraih kekuatan dalaman supaya hati kuat untuk melontarkan pandangan. Insya Allah, saya juga akan mencuba :)

Ada pula sebahagian yang lain berani menegur tetapi mudah merungut yang orang yang ditegur itu tidak mahu berubah, tidak mahu mendengar nasihat.

Perkara biasa. Sesuatu yang baik itu selalunya mengambil masa yang lama untuk diamalkan. Sesuatu yang baru itu mengambil masa yang lama untuk disuaikan dengan diri seseorang. Hatta, ketika zaman Rasulullah dulu pun bukan semua orang boleh menerima pengharaman sesuatu benda seperti minum arak. Mereka yang sudah terbiasa dengan arak sukar untuk membuang kegiatan itu dan perlu mengambil masa untuk menerima dan menyesuaikannya.

DAKWAH NABI NUH

Nabi Nuh inilah yang digelar gila oleh puak-puak musyrikin kerana membina sebuah kapal di atas bukit. Bukanlah seorang nabi, bukanlah utusan Allah jika mudah berputus asa. Siang dan malam baginda berdakwah kepada umatnya.

Sehinggalah bertahun-tahun lamanya tidak juga kaumnya beriman. Nabi Nuh sedih, tapi tidak pula berputus asa sehinggalah dakwah baginda mencecah 950 tahun tetapi hanya beberapa orang yang beriman dengan izin Allah.

KESAYANGAN RASULULLAH

Abu Talib merupakan bapa saudara baginda s.a.w. yang amat dikasihi dan dicintainya. Bapa saudara baginda inilah yang telah menbela dan mengasuh baginda sejak kematian ibu, bapa dan datuk baginda. Abu Talib inilah yang sudi menerima Rasulullah walaupun dirinya sendiri mempunyai ramai anak. Tetapi, dia sanggup menjaga anak saudaranya ini.

Secara ringkasnya, beliau sangat menyayangi baginda dan sentiasa menyokong perjuangan baginda. Sepanjang hayatnya, dia sentiasa mempertahankan baginda walaupun dia bukanlah salah seorang saudara dalam Islam. 

Saat kaum musyrikin hendak membunuh baginda, menawarkan keduniaan kepada baginda, menghina dan mencela baginda, dialah yang berada di hadapan baginda Rasulullah s.a.w. untuk mempertahankan baginda sehinggalah dia menghembuskan nafas yang terakhir.

Walaupun hidup bersama kekasih Allah itu sepanjang hayat, namun cahaya keislaman yang dibawa baginda tidak mampu menembusi hati bapa saudaranya itu. Tidak mampu membuka pintu hatinya untuk menerima Islam.

HIDAYAH MILIK ALLAH

Kita manusia tidak mampu untuk membetulkan semua orang. Tidak mampu juga untuk mengajak kebaikan kepada semua orang. Walau sebanyak mana nasihat yang diberikan, tidak semua yang boleh terima kerana kita tidak boleh memberi hidayah kepada mereka. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah.

Disamping menegur dan memberi nasihat, selitkan doa untuk mereka agar hidayah Allah sampai kepada mereka lalu menerimanya dengan hati yang terbuka. Insya Allah tiada yang mustahil dengan izin Allah.

Berusahalah meraih redha dan hidayah Nya.

"Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang kamu kasih tetapi hanya Allah akan memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki."
(Surah Al-Qasas ayat 56).



Friday, May 13, 2011

tak rugi belajar :)


A : Belajar lagi ke dik ?
B : Baru habis asasi J
A : tak rugi ke amik asasi ? akak rasa macam rugi masa je.
B : J (senyum jela yang mampu)

Ikutkan hati mahu dilawan ditingkah kata-kata itu, tapi perasaan hormat masih ada. Cuma terbit di benak fikiran, salahkah aku kalau aku tidak menyampaikan apa yang tersirat di benakku ?

Bagi saya, tak ada yang merugikan dan membuang masa untuk mengutip mutiara-mutiara ilmu. Malah saya berbesar hati dapat mencari ilmu di bumi barakah Kelantan Darul Naim. Selama dua tahun di sana, terasa bagai dua bulan sahaja. Allah, cepat benar masa itu berputar dan berlalu meninggalkan kita.

Mengambil jurusan syariah dan masih belum ada jawapan untuk permohonan saya dalam bidang syariah ekonomi di Kuala Lumpur nanti. Dulu sewaktu di alam asasi, semua course dicampurkan dalam satu kelas. Usuluddin, syariah, pendidikan Islam semuanya digabungkan dan belajar dalam kelas yang sama. Sama-sama belajar bahasa Arab, aqidah, sirah dan sebagainya.

Pada mulanya, saya juga berfikiran seperti dialog di atas. Lamanya aku kena belajar, bila nak habis, bila nak kerja. Itu je yang memberati fikiran kala itu. Kini, bagai diketuk di kepala barulah tersedar akan indahnya saat menuntut di alam asasi.

Kenapa dua tahun ?

Asasi tempat lain majoritinya setahun je. L

Kalau belajar setahun, apa yang saya dapat. Sedangkan ilmu yang tersedia untuk dua tahun pon mungkin hanya beberapa peratus je yang melekat di kepala, inikan pula setahun. Agak-agaknya berapa percent dijamin melekat ?

Ilmu Allah ni sangat meluas, tidak tercapai dek akal dan tidak tergapai dek ingatan untuk mempelajari kesemua ilmu Allah di dunia ini. Selama 11 tahun di alam persekolahan, ingat lagikah isi yang terkandung dalam buku sejarah, geografi, kajian tempatan ? Sejujurnya, saya sendiri tak ingat kandungannya.

Sistem kibutsats dalam entry saya yang lepas, saya sendiri baru tahu sedangkan ia mungkin sudah berzaman punya cerita. Bagi saya, itu adalah ilmu baru buat saya.

Kita sedia maklum bahawa solat di awal waktu adalah yang paling afdhal dan yang terbaik. Makanya, saya beranggapan bahawa solat kelima-lima waktu adalah afhdal di awal waktu. Rupa-rupanya solat Isya’ dikecualikan. Solat Isya’ boleh dilewatkan bahkan harus dilewatkan sedikit bagi yang menjalankan kegiatan berfaedah selepas Maghrib seperti mendengar kuliah maghrib dan perkara-perkara baik yang lain. Akan tetapi seharusnya dilakukan secara berjemaah.

Seperkara lagi, baru saya tahu yang hadis mengenai syurga di bawah telapak kaki ibu itu yang matannya berbunyi, “al-jannatu tahta aqdamul ummahat” merupakan hadis maudhu’. Hanya matan sahaja yang maudhu’ tetapi maksud hadis itu tetap soheh. Saya juga kurang arif mengenai hadis-hadis maudhu’ ni Cuma tahu serba serbi dan secara rambang sahaja.

Mungkin kalian sudah lama tahu akan hal ini, tapi tidak bagi saya. Ini ilmu yang baru saya peroleh di peringkat asasi. 19 tahun hidup dan ketika ini baru saya tahu. Subhanallah, hebat sungguh ilmu Allah. Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk mengetahui dan Allah mengeluarkan saya dari kejahilan.

Allahu Akbar, indahnya hidup berpandukan ilmu Allah. Saya tidak berasa asasi itu merugikan masa bahkan saya merasa rugi kalau saya tidak ke asasi itu. Mungkin ilmu ini tidak saya peroleh. Kitab hadis tiada dalam simpanan saya. Perkataan arab tidak saya kuasai.

Kadang-kadang saya terasa saya tergolong dalam golongan orang yang rugi. Tidak berapa tamak dengan ilmu-ilmu. Bak kata orang apa yang sudah terlepas dari genggaman, baru dikesali. Sedikit kesal kerana kurang bersungguh-sungguh dalam penguasaan ilmu nahu & sorof. Namun, bersyukur kerana boleh faham sedikit demi sedikit.

Dunia ahir zaman ini, jangan dikejar harta, pangkat dan rupa. Tingkatkan iman, teguhkan amalan, perbanyakkan ilmu untuk dipersiapkan bagi menghadapi kehidupan di alam barzakh kelak.

Di sini, saya hanya ingin katakan tiada yang rugi dalam mencari ilmu-ilmu Allah, malah diri yang akan rugi kerana tidak dibekalkan dengan ilmu itu kerana kelak ilmu yang bermanfaat akan menjaga kita di akhirat kelak, insya Allah.

Sunday, May 1, 2011

sistem kibutsats


Sistem kibutsats
Pernah dengar tak sistem ini ?

Pertama kali saya dengar nama sistem ini melalui pembacaan sebuah buku karangan Hilal Asyraf, Fanzuru (maka lihatlah).

Apa itu kibutsats ?
“Kibutsats adalah salah satu sistem tarbiah Israel yang perlu kita perhatikan.”

Hilal Asyraf menceritakan bahawa kibutsats adalah Bandar-bandar yang dibangunkan oleh Israel. Hakikatnya kibutsats adalah satu sistem pembinaan masyarakat yang sangat sistematik namun peraturannya agak ketat tetapi masyarakatnya sentiasa mentaati peraturannya.

Secara ringkasnya, kibutsats merangkumi semua keperluan hidup masyarakatnya dari segi pekerjaan, tempat tinggal, riadah dan latihan ketenteraan. Perindustrian yang dihasilkan sendiri dan tak lupa juga pendidikan buat anak-anak mereka.

Saya tertarik dengan sesi pembelajaran mereka. Dalam kibutsats, mereka memiliki nurseri dan sekolah sendiri. Mereka tidak menghantar anak-anak mereka keluar. Guru-guru juga merupakan antara komuniti kibutsats.

Pendidikan kibutsats berasaskan silibus sendiri, disusun dan direka untuk memenuhi hajat mereka menawan dunia. Mereka tidak memandang pendidikan semata-mata untuk mendapatkan sijil, pangkat atau mendapat pekerjaan yang hebat. Tetapi pendidikan mereka untuk membina ideologi dan pemikiran.

Contoh yang diberi oleh Hilal, mata pelajaran Matematik di Malaysia melibatkan kenderaan, makanan dan buah-buahan.

Contohnya : Ahmad ada 10 biji epal dan dia mempunyai 4 orang rakan. Semuanya mahu makan epal dan Ahmad perlu membahagikan secara sama rata. Berapa biji epalkah yang boleh dimakan oleh Ahmad dan kawan-kawannya ?

Akan tetapi, dalam kibutsats matapelajaran Matematik mereka membawa kepada apa yang mereka mahu dan hajatkan.

Contoh : Yyvon mengetuai satu peperangan terhadap 10 daerah orang Arab dan Yyvon mengetuai lima platun tentera termasuk platunnya sendiri. Maka, Yyvon membahagikan serangannya terhadap 10 daerah Arab tadi kepada semua platunnya secara sama rata. Maka, berapa daerah orang Arabkah yang perlu dimusnahkan oleh semua platun termasuk platun Yyvon ?

See ! Inilah sebenarnya yang hendak saya ceritakan. Berbeza sangat kan pendidikan kita dengan pendidikan orang Israel. Demi memenuhi kehendak dan hajat mereka, mereka bermula dengan pendidikan anak-anak. Mereka hendak menawan dunia, mereka serapkan kefahaman kepada anak-anak sejak kecil.

Tujuannya adalah satu, untuk membina diri mereka dan masyarakat mereka agar terus kebal dan kuat. Agar yang membangun dan yang mantap adalah mereka.

Apa matlamat kita umat Islam hari ini ?

Kita hari ini terlalu pegang dengan ayat “doa itu senjata mukmin.” Ya ! Memang benar doa itu senjata kita kerana Allah akan membantu hambaNya yang sentiasa berdoa. Tetapi doa tanpa usaha apa yang akan kita peroleh ?

Israel berkobar-kobar mengalahkan umat Islam. Mereka membina masyarakat mereka agar membenci Islam dan menghancurkan Islam sejak kecil. Mereka tidak beriman tetapi mereka sangat berdisiplin.

Kita ?
Adakah kita turut membina diri kita, anak-anak kita, keluarga kita, masyarakat kita ?
Adakah kita pernah mendisiplinkan diri kita ?

Marilah kita duduk sejenak dan hayatilah. Lihatlah anak-anak kita, adik-adik kita, pendidikan yang macam mana yang telah kita serapkan kepada mereka ?

Apa yang boleh mereka lakukan ketika ini dan masa hadapan ? Janganlah kita leka dan lalai dengan hiburan semata-mata kerana itu juga adalah salah satu ideologi yang Yahudi taburkan supaya dapat merosakkan akhlak dan moral anak-anak supaya mereka cintakan hiburan, cintakan kelalaian dan melupakan Tuhan.

Mari renungkan kembali. Kita mampu mengubahnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...