Please Put Your Blog's Link ;)

Monday, May 16, 2011

berusahalah meraihnya


Susahnya memberi nasihat. Susah juga hendak menerimanya. Bukan semua orang boleh menerima nasihat dan bukan semua mampu memberikan nasihat atau teguran yang berguna.

Kita selalu merungut, "dia bukannya nak dengar cakap orang."

"Tak makan saman pun dia tu."

Memang la dia tak makan saman sebab dia makan nasi. 

Tak dinafikan, saya juga lemah dalam bab memberi teguran dan nasihat secara direct melalui ucapan. Itulah, apabila iman senipis kulit bawang, maksiat di depan mata pun tiada dapat dilarang.

Tapi tak salah kan kalau kita mencuba, meraih kekuatan dalaman supaya hati kuat untuk melontarkan pandangan. Insya Allah, saya juga akan mencuba :)

Ada pula sebahagian yang lain berani menegur tetapi mudah merungut yang orang yang ditegur itu tidak mahu berubah, tidak mahu mendengar nasihat.

Perkara biasa. Sesuatu yang baik itu selalunya mengambil masa yang lama untuk diamalkan. Sesuatu yang baru itu mengambil masa yang lama untuk disuaikan dengan diri seseorang. Hatta, ketika zaman Rasulullah dulu pun bukan semua orang boleh menerima pengharaman sesuatu benda seperti minum arak. Mereka yang sudah terbiasa dengan arak sukar untuk membuang kegiatan itu dan perlu mengambil masa untuk menerima dan menyesuaikannya.

DAKWAH NABI NUH

Nabi Nuh inilah yang digelar gila oleh puak-puak musyrikin kerana membina sebuah kapal di atas bukit. Bukanlah seorang nabi, bukanlah utusan Allah jika mudah berputus asa. Siang dan malam baginda berdakwah kepada umatnya.

Sehinggalah bertahun-tahun lamanya tidak juga kaumnya beriman. Nabi Nuh sedih, tapi tidak pula berputus asa sehinggalah dakwah baginda mencecah 950 tahun tetapi hanya beberapa orang yang beriman dengan izin Allah.

KESAYANGAN RASULULLAH

Abu Talib merupakan bapa saudara baginda s.a.w. yang amat dikasihi dan dicintainya. Bapa saudara baginda inilah yang telah menbela dan mengasuh baginda sejak kematian ibu, bapa dan datuk baginda. Abu Talib inilah yang sudi menerima Rasulullah walaupun dirinya sendiri mempunyai ramai anak. Tetapi, dia sanggup menjaga anak saudaranya ini.

Secara ringkasnya, beliau sangat menyayangi baginda dan sentiasa menyokong perjuangan baginda. Sepanjang hayatnya, dia sentiasa mempertahankan baginda walaupun dia bukanlah salah seorang saudara dalam Islam. 

Saat kaum musyrikin hendak membunuh baginda, menawarkan keduniaan kepada baginda, menghina dan mencela baginda, dialah yang berada di hadapan baginda Rasulullah s.a.w. untuk mempertahankan baginda sehinggalah dia menghembuskan nafas yang terakhir.

Walaupun hidup bersama kekasih Allah itu sepanjang hayat, namun cahaya keislaman yang dibawa baginda tidak mampu menembusi hati bapa saudaranya itu. Tidak mampu membuka pintu hatinya untuk menerima Islam.

HIDAYAH MILIK ALLAH

Kita manusia tidak mampu untuk membetulkan semua orang. Tidak mampu juga untuk mengajak kebaikan kepada semua orang. Walau sebanyak mana nasihat yang diberikan, tidak semua yang boleh terima kerana kita tidak boleh memberi hidayah kepada mereka. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah.

Disamping menegur dan memberi nasihat, selitkan doa untuk mereka agar hidayah Allah sampai kepada mereka lalu menerimanya dengan hati yang terbuka. Insya Allah tiada yang mustahil dengan izin Allah.

Berusahalah meraih redha dan hidayah Nya.

"Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang kamu kasih tetapi hanya Allah akan memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki."
(Surah Al-Qasas ayat 56).



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...