Please Put Your Blog's Link ;)

Friday, April 15, 2011

Menggadai nyawa untuk RM80 sehari


Di depan pejabat saya di KL, terdapat sebuah bangunan besar enam tingkat sedang dinaik taraf. Sekarang ini di sekeliling bangunan itu dipasang kerangka besi (staging) bagi membolehkan kerja-kerja penambahan tingkat dilakukan.

Suatu petang yang panas terik saya enak menikmati buah betik sejuk kesukaan saya di bawah pokok berhampiran bangunan itu. Saya menyaksikan seorang anak muda kelam kabut menuruni kerangka besi tersebut. Dia menggelongsor batang besi dari kedudukan paling tinggi dan selepas sampai ke tanah, berlari ke sebatang pokok, menyandarkan diri dan membuka topi keselamatannya.

Saya melihat tubuhnya bercucuran peluh, mukanya pucat. Dia mengambil nafas dan selepas keadaan sedikit lega, saya menghampirinya, bertanya khabar dan mempelawa minum tetapi dia menolak kerana dakwanya sudah minum.

"Apa pasal?" Saya bertanya. "Saya mahu pengsan. Kalau saya tunggu atas sana, saya boleh jatuh dan mati," katanya.

Saya mencapai sepotong betik dan menghulur kepadanya, "saya belanja" kata saya. Sambil dia mengunyah betik, saya pun bertanya tentang dirinya. 

Namanya Halidin, berusia 21 tahun. Berasal dari Jatim, Jawa Timur. "Beginilah pak, saya menyambung nyawa cari rezeki. Kami diberi tempoh sebulan memasang staging ni. Ada tiga pekerja termasuk saya. Kerjanya berat pak, terutama hari panas macam sekarang ni."

"Berapa kamu dapat (upah) sehari?" Halidin memberitahu dia hanya mendapat RM80 sehari. Ada kerja ada upah, tak ada kerja tak ada upah.Waktu kerjanya adalah mulai 8.30 pagi sehingga 5.00 petang. 

"Lumayankah pendapatan kamu?"

"Di sini boleh la pak. Kalau kerja di kampung saya upahnya 300,000 rupiah sebulan. Ini bersamaan RM100 kerana 1 juta rupiah bersamaan RM 350. Untuk dapatkan lebih, terpaksalah saya meninggalkan kampung halaman."

Beum sempat saya habis berbual dengan Halidin, dia dipanggil dengan suara keras oleh 'bos'nya apabila gondola sudah sampai ke tanah. Maka berlarilah Halidin memasuki gondola dan sebentar kemudian dia sudah ada di puncak bangunan.

Sambil memerhati Halidin dan rakan sekerjanya, si penjual makanan memberitahu saya.

"Hanya orang Indonesia yang sanggup bekerja berat seperti ini. Orang kita usah haraplah. Mungkin tiada orang muda kita yang sanggup bekerja dalam panas matahari, menggadai nyawa bagi mendapatkan upah sebanyak itu."

Benar, melihat Halidin bergerak dari satu kerangka ke satu kerangka lain sungguh mengerikan. Tiada tali yang mengikat tubuhnya. Andai tersilap langkah, atau kerangka itu tumbang; pengakhirannya adalah mati seperti yang diucapkan Halidin. Tetapi demi sesuap nasi, Halidin dan rakannya terus gigih berusaha, mendapatkan upah RM80 sehari yang diberikan pada senja hari.


------>>>> cerita ini saya copy dari sebuah akhbar, mungkin tak ramai yang perasan cerita ini. Cerita ni menarik dan saya hendak sebut satu sahaja input yang penting. Yang lain fikirkan sendiri la ye..hehe :)

MENCARI YANG HALAL

Berapa banyak manusia sekarang tidak mengendahkan hukum syarak dalam bab mencari rezeki. Ada yang sanggup memakan rasuah, riba dan sebagainya.

Kisah Halidin, masyarakat luar yang mencari rezeki di negara kita dengan cara halal walaupun sanggup menggadai nyawa. Masih memegang kepada hukum dalam bab mencari rezeki.

Masyarakat kita sekarang bagaimana ?

Macam yang penjual makanan tu cakap, hanya orang Indonesia sanggup menggadai nyawa untuk kerja sebegitu. Ya, rata-rata manusia yang bekerja dalam pembinaan atau buruh adalah orang Indonesia. Bukan hanya lelaki, malah wanita juga sanggup bekerja sebegitu. Ada pula yang mengupah orang menjaga anak mereka untuk turut membantu suami bekerja di tapak pembinaan.

Di manakah sensitiviti masyarakat kita mengenai hal ini ?

Mungkin kita pandang kerja ini tak ada class, panas, berhabuk dan segala bagai la. Tapi, fikirkan semula, tanpa mereka yang bekerja ni tak akan wujud bangunan-bangunan pencakar langit yang menjadi kemegahan negara kita.

Oleh itu, mari kita duduk dan renungkan kembali. :)



1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...